Era Pemerintahan I

Detik Tuanku Syed Putra Kembali Ke Perlis

Sejurus berakhirnya pendudukan Jepun dan kembalinya Kerajaan British memerintah Tanah Melayu, Tuanku Syed Putra dipanggil kembali ke Perlis untuk dilantik secara rasmi sebagai Raja Negeri Perlis. Baginda mendapat surat jemputan daripada Tuan Haji Mohd Hakim, Haji Noh dan Datuk Wan Ahmad agar kembali semula ke Perlis.

Pada September 1945, baginda dan Tengku Budriah beserta seorang puteri, dua orang putera dan kedua ayahanda dan bonda Tengku Budriah menaiki keretapi dari Kelantan menuju Padang Besar.

Di Padang Besar, tiada keretapi ke Arau. Dengan jasa baik rakyat jelata, rombongan baginda telah di bawa menaiki "Troley Keretapi" (panggilan lain bagi troley ini ialah "Gek-gek") yang ditolak dari belakang secara sukarela oleh beberapa orang kampung hingga ke Stesen Keretapi Bukit Keteri.

Ketika inilah tampak kesetiaan rakyat jelata yang tidak berbelah bagi kepada Tuanku Syed Putra walaupun baginda pernah diketepikan oleh pemerintah Jepun. Ketibaan baginda di Stesen Keretapi Bukit Keteri disambut oleh hamba rakyat dengan penuh penghormatan.

Di sana, Major Burr dari pasukan "Force 136" sedia menanti dengan sebuah kereta untuk membawa Tuanku sekeluarga ke kediaman di Kangar.

 

Perlantikan Tuanku Syed Putra Sebagai Raja Negeri Perlis

Pada 4 Disember 1945, Tuanku Syed Putra menerima surat perlantikan secara rasmi sebagai Raja Negeri Perlis oleh Kerajaan British.

Tarikh ini merupakan detik bersejarah yang menandakan bermulanya pemerintahan rasmi Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail di atas takhta Negeri Perlis.

Sejurus dilantik sebagai Raja Negeri Perlis, baginda bertindak melantik penghulu-penghulu yang mewakili 12 buah mukim bagi seluruh Negeri Perlis.

Seterusnya baginda menyusun jentera pentadbiran negeri bagi memastikan usaha memajukan negeri dan rakyat dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

 

Penentangan Malayan Union

Cabaran pertama yang dihadapi oleh baginda ketika mula menduduki takhta ialah usaha pihak British untuk memperkukuhkan kuasa pemerintahan di Tanah Melayu melalui satu pendekatan pemerintahan yang diwartakan sebagai "Malayan Union" yang nyata merugikan orang-orang Melayu.

Walaubagaimanapun usaha ini memerlukan sokongan dan tandatangan oleh keseluruhan raja di negeri-negeri Tanah Melayu.

Untuk tujuan itu, pihak British merancang muslihat mendapatkan sokongan terhadap penubuhan Malayan Union dengan cara meminta tandatangan dari raja-raja Melayu tanpa terlebih dahulu memberi peluang kepada raja-raja Melayu untuk meneliti hakikat sebenar yang tersirat di sebalik Malayan Union tersebut.

Ketika ini, baginda mencatat sejarah tersendiri dari sudut ketegasan dalam membuat keputusan. Sikap baginda yang enggan menandatangani persetujuan Malayan Union menyebabkan pihak British terpaksa mencari pelbagai helah untuk mendapatkan persetujuan baginda.

Salah seorang wakil Inggeris yang dihantar mengadap Tuanku ialah Gabenor Mc Gallevery. Beliau melabuhkan kapal secara rahsia di perairan Pulau Langkawi dan kemudian menaiki bot ke Kuala Perlis. Beliau mengadap Tuanku Syed Putra di Istana Arau. Namun, kedatangan tersebut tidak mampu melunturkan ketegasan dan pendirian baginda.

Sebaliknya rakyat Negeri Perlis sentiasa berdiri di belakang raja dengan penuh taat setia demi maruah agama, bangsa dan negara. Ketika ini, Tuanku Syed Putra bersama seluruh raja-raja Tanah Melayu memainkan peranan dalam membantu memansuhkan validiti "Malayan Union".

Peristiwa ini juga mengukur sejauh mana kesetiaan rakyat terhadap raja di Tanah Melayu. Nyata, kewibawaan raja dipertahankan sebulat suara. Baginda Tuanku Syed Putra adalah antara yang menyaksikan bukti sejarah ini. Ketika inilah rakyat bangun untuk mempertahankan martabat raja-raja dan bangsa Melayu.

Tuanku Syed Putra bersama raja-raja Melayu dengan diiringi oleh sokongan rakyat jelata telah mengadakan suatu penentangan dengan membuat pemulauan upacara perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union yang pertama.

Akhirnya, atas penentangan tersebut, Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Peranan Tuanku Syed Putra dalam mewujudkan penentangan terhadap Malayan Union memperlihatkan kewibawaan baginda, walaupun ketika itu, baginda baru menduduki takhta Negeri Perlis.

 

Istiadat Pertabalan Tuanku Syed Putra

Setelah melalui kemelut awal perjuangan mempertahankan maruah tanah air, Tuanku Syed Putra kemudiannya secara rasmi ditabalkan sebagai Raja Perlis pada 12 Mac 1949. Istiadat pertabalan yang bersejarah ini yang diadakan di Istana Arau telah dihadiri oleh wakil raja-raja dan sultan-sultan negeri-negeri di Tanah Melayu, ketua-ketua kaum bagi orang Melayu; India Muslim; Cina; India; Sikh; dan Siam.

Turut hadir ialah Pemerintah Tertinggi Inggeris, Sir Hendry Gurney dan isteri. Ketika ini juga, Dato' Onn Jaafar, pemimpin tertinggi Pertubuhan Melayu Bersekutu (UMNO) turut serta memeriahkan majlis pertabalan.

Upacara pertabalan bermula dengan perarakan alat-alat kebesaran DiRaja dari Balairung. Seorang kerabat kemudiannya menatang pedang kerajaan dan keris diiringi barisan empat orang pelayan yang membawa payung kuning; empat orang pelayan membawa tombak bersama sebatang tombak lain yang di pasang bendera Negeri Perlis; empat pelayan yang lain pula membawa keris; dan empat orang pelayan wanita membawa "Sirih Puan" dan "batil".

Perarakan ini diiringi oleh bunyi-bunyian gamelan. Ketika sampai di Balairung, pedang kerajaan dan keris diserahkan kepada pegawai istiadat. Pengiring dan pelayan-pelayan duduk di tempat yang dikhaskan.

Kemudian bermula istiadat keberangkatan Raja dan Raja Perempuan dari istana ke Balairung, diiringi oleh juruiring baginda. Baginda berdua disambut oleh pegawai istiadat. Sekalian yang hadir akan bangun memberi hormat.

Barisan kehormatan di hadapan anjung memberi hormat. Pasukan pancaragam memainkan lagu "Amin-amin". Setelah itu, baginda berdua bersemayam di singgahsana dan hadirin kembali duduk.

Pegawai istana tampil ke hadapan Panca Pertabalan dan mengangkat sembah kepada baginda berdua lalu melafazkan makluman tentang pertabalan hendak dijalankan.

Sejurus itu, pegawai istiadat mempersilakan Raja berdiri. Sekalian yang hadir turut berdiri. Pegawai istiadat seterusnya mempersembahkan keris. Raja berkenan menerima keris itu lalu disisip di pinggang. Baginda kemudiannya berkenan menerima dan memegang pedang kerajaan.

Pegawai istiadat setelah itu melafazkan sembah mengisytiharkan pertabalan baginda sambil mendoakan keberkatan dan berkekalan turun-temurun hendaknya takhta DiRaja di samping meminta sekalian penduduk taat setia kepada baginda.

Setelah itu, Menteri Besar mengangkat sembah lalu menyeru "Daulat Tuanku" dan diikuti oleh sekalian yang hadir, tiga kali berturut-turut.

Manakala barisan kehormat memberi hormat kepada baginda. Pancaragam memainkan lagu Negeri Perlis dan meriam ditembak sebanyak 17 das.

Selesai upacara tersebut, raja bertitah dengan melafazkan kesyukuran kepada tuhan kerana majlis pertabalan dapat disempurnakan sambil berjanji akan menjalankan pemerintahan negeri ini dengan adil mengikut undang-undang.

Setelah itu, baginda bersemayam di singgahsana dan sekalian yang hadir duduk di tempat masing-masing.

Istiadat pertabalan raja perempuan pula diadakan setelah itu. Perisytiharan dibuat oleh pegawai istiadat. Sekalian yang hadir memberi hormat diiringi lagu Negeri Perlis oleh pancaragam pasukan kehormatan.

Selepas itu Kadi Besar negeri membacakan doa selamat. Ini diikuti dengan ucapan tahniah kepada kedua-dua baginda.

Setelah itu, upacara mempersembahkan ucapan oleh perwakilan raja-raja dan sultan negeri-negeri di Tanah Melayu, diikuti ucapan Menteri Besar Perlis bagi pihak rakyat.

Selesai ucapan berkenaan, baginda berdua turun dari singgahsana "Panca Pertabalan" dan berangkat pulang ke istana diikuti oleh wakil raja-raja dan sultan-sultan, menteri besar dan semua yang hadir.

Pada sebelah petang, perarakan pelbagai ciptaan penduduk dari semua mukim di Perlis diadakan. Ini disusuli dengan satu majlis Jamuan Agong pada sebelah malamnya di Balairung.

Pelbagai jenis permainan dan pertunjukan juga turut diadakan untuk hiburan rakyat.

Keesokan harinya, dalam istiadat yang sama, diadakan upacara mempersembahkan ucapan daripada wakil-wakil pegawai kerajaan, pertubuhan Melayu, India Muslim, Cina, kaum India, Sikh dan Siam.

Istiadat penyerahan kembali pemerintahan Tanah Melayu diadakan di Stadium Merdeka. Tuanku Syed Putra tidak ketinggalan menyertai perhimpunan gilang-gemilang tersebut mewakili kedaulatan negeri Perlis sebagai salah sebuah negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu.

Baginda yang berada di pentas utama bersama raja-raja dan sultan-sultan seluruh Tanah Melayu di samping rakyat jelata yang memenuhi setiap ruang Stadium Merdeka, menyaksikan wakil baginda Ratu Great Britain, Yang Teramat Mulia Prince Henry, Duke of Glucester menyerahkan kembali kekuasaan dan kedaulatan Tanah Melayu kepada wakil bagi pihak Tanah Melayu, Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Dengan penyerahan kuasa tersebut, Tanah Melayu secara rasmi mencapai status merdeka dari pihak Inggeris.

 

Proklamasi Kemerdekaan

Setelah sekian waktu selepas pertabalan, Tuanku Syed Putra turut menyaksikan detik-detik yang membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Suasana di ambang kemerdekaan dirasai oleh baginda dan seluruh rakyat jelata apabila satu mesyuarat penting yang diadakan di London membuahkan hasil sehingga berakhir dengan proklamasi kemerdekaan bagi Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957.

 

era1 1  era1 2  era1 3

era1 4  era1 5  era1 6

 

 

era1 7  era1 8  era1 9  era1 10


era1 11  era1 12  era1 13

CetakEmel