Era Pemerintahan II

Yang Di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu

Pada awal subuh, 1 April 1960, Yang Di-Pertuan Agong bagi Negara Persekutuan Tanah Melayu, Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad telah mangkat di Istana Negara.

Lantaran itu, pada 4 April 1960, Al-Marhum Tuanku Hisamuddin Alam Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan, telah dilantik menjadi Yang Di-Pertuan Agong Kedua bagi Negara Persekutuan Tanah Melayu manakala baginda Tuanku Syed Putra dilantik menjadi Timbalan Yang Di-Pertuan Agong pada bulan April 1960.

Namun begitu, setelah lima bulan Sultan Hisamuddin Alam Shah memegang teraju sebagai Yang Di-Pertuan Agong, baginda kembali ke rahmatullah pada tanggal 1 September 1960.

Kemangkatan Sultan Hisamuddin Alam Shah, membawa kepada Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu. Hasil dari persidangan tersebut, keputusan dibuat bagi melantik Tuanku Syed Putra sebagai Yang Di-Pertuan Agong ketiga bagi negara Persekutuan Tanah Melayu. Penghormatan ini diberikan kepada baginda selaku peribadi yang paling sulung di antara Raja-Raja Melayu ketika itu.

Baginda Tuanku Syed Putra telah ditabalkan dengan istiadat penuh gilang-gemilang sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Tengku Budriah menjadi Raja Permaisuri Agong bagi Persekutuan Tanah Melayu pada 4 Januari 1961.

Semasa ketiadaan baginda di negeri Perlis, kerajaan negeri Perlis telah diperintah oleh sebuah Majlis Pemangku Raja.

Jemaah Pemangku Raja tersebut terdiri daripada Tuan Dr. Syed Mahmood bin Syed Hussain Jamalullail sebagai Yang DiPertua Jemaah; Pemangku Raja Perlis, Tuan Hj. Ahmad bin Hj. Muhammad, ahli; Tuan Syed Hussain bin Syed Zain Jamalullail, ahli; dan Tuan Syed Bakar bin Syed Hussain Al-Jafri, ahli.

Selepas 40 hari baginda menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra melantik menantu baginda, Yang Teramat Mulia Tengku Sulaiman Ibni Al-Marhum Tengku Bendahara Abu Bakar menjadi Pemangku Raja.

 

Pengurniaan Panji DiRaja

Dalam era pemerintahan ini, baginda berkesempatan menyempurnakan pengurniaan Panji-panji DiRaja kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu pada 11 November 1961.

 

Lawatan Rasmi

Memandangkan Persekutuan Tanah Melayu baru membentuk sebuah negara merdeka, tanggungjawab Tuanku Syed Putra amat mencabar. Baginda mempunyai peranan yang besar memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu di mata dunia bersama-sama Perdana Menteri. Bagi Tuanku Syed Putra, siri lawatan tersebut dianggap usaha awal memperkenalkan tanah air di peringkat antarabangsa secara global.

Peranan baginda terserlah dalam setiap lawatan apabila cuba mengenengahkan negara Malaysia dan peranannya. Sepanjang menduduki takhta sebagai Yang Di-Pertuan Agong bagi Persekutuan Tanah Melayu, baginda pernah membuat lawatan rasmi ke Brunei pada tahun 1961, melawat India pada 7 hingga 2 Disember 1961 dan seterusnya ke Pakistan, dan Pulau Ceylon (Sri Lanka) serta beberapa negara lagi.

 

era2 1     era2 2  era2 3  era2 4

era2 5     era2 6  era2 7

CetakEmel