Pendudukan Jepun

Pendudukan Jepun Di Tanah Melayu

Tuanku Syed Putra pernah melalui detik kehidupan mencabar di zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Namun, pengalaman dan budi bicara serta kesabaran yang terbina dalam diri menjadikan baginda mampu merentasi ruang-ruang kesulitan ketika itu.

Ia bermula pada 8 Disember 1941, ketika Tanah Melayu dikejutkan dengan kemasukan Jepun. Keesokan harinya, tentera British mengebom titi kayu yang menyambungkan Bandar Kangar dengan jalan ke Kuala Perlis. Pada 12 Disember 1941, tentera Jepun yang berjalan kaki diketuai oleh Captain E. Hirota mula memasuki negeri Perlis melalui Padang Besar.

Perkembangan seterusnya berakhir dengan penyerahan kuasa pihak British kepada Jepun. Dengan terjajahnya Tanah Melayu, Negeri Perlis tidak terkecuali dari belenggu pemerintahan Jepun. Raja Syed Alwi yang memerintah Negeri Perlis ketika itu membawa diri ke Kuala Kangsar atas pandangan Mr. Day, seorang Pegawai British.

Justeru itu, Jepun memanggil Tuan Syed Hamzah untuk menjalankan pemerintahan negeri. Pihak Jepun juga tidak menyenangi sikap Raja Syed Alwi yang lebih mematuhi arahan pihak British. Jepun semakin mara hingga ke Kuala Kangsar dan berusaha mencari Raja Syed Alwi untuk dibawa pulang ke Perlis. Pada tarikh tentera Jepun memasuki Negeri Perlis, Tuanku Syed Putra masih berada di dalam perkhidmatan kerajaan di Kuala Lumpur. Biarpun Negeri Perlis berada di dalam suasana yang tidak aman dan kurang selamat, baginda tetap membuat keputusan kembali ke Perlis.

Sekembali ke Negeri Perlis, baginda dibayar elaun selama tiga bulan sebagai wang persaraan hidup oleh pihak Inggeris sebelum mereka meninggalkan Tanah Melayu. Disebabkan suasana di Negeri Perlis agak goyah, baginda membawa diri bersama keluarga tinggal berhampiran Kelab Selangor di Ampang.

Pengeboman oleh pihak Jepun yang mengenai Kelab Selangor memaksa baginda berhijrah ke Ulu Langat dan tinggal di sana selama sebulan. Baginda kemudian dijemput oleh Tengku Salahuddin dan Tengku Salwa untuk tinggal di Kelang.

Di sana, baginda diberi tempat perlindungan di sebuah Kuarters Kerajaan kosong. Ketika ini, Tengku Budriah sedang menunggu saat melahirkan anakanda sulung. Penantian baginda berakhir apabila baginda melahirkan seorang puteri diberi nama Sharifah Salwa.

Tuanku Syed Putra bersama isteri dan puteri yang masih kecil kembali semula ke Perlis pada tahun 1942. Baginda disambut dan diraikan di Istana Arau. Nenda saudara baginda, Raja Syed Alwi memberi elaun sara hidup berjumlah RM 90.00.

Namun begitu, apabila Raja Syed Alwi mangkat pada 1 Februari 1943, Raja Syed Putra diketepikan sebagai pengganti Al-Marhum Raja Syed Alwi oleh pemerintah Jepun ketika itu, Ohyama Kikan Cho.

Kemangkatan tersebut membolehkan pihak Jepun memberi mandat kepada Tuan Syed Hamzah untuk menjadi raja pemerintah memandangkan sepanjang pendudukan Jepun baginda Syed Hamzah telah menjalankan pemerintahan dengan baik. Atas kepercayaan dan kewibawaan itulah Tuan Syed Hamzah kemudiannya dilantik menjadi raja Negeri Perlis.

Perkembangan itu tidak melemahkan diri baginda untuk berhadapan dengan realiti masa depan. Baginda mencari haluan sendiri dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Pada peringkat awal, baginda membuka perniagaan kedai runcit di Pekan Arau. Pemandu baginda menjadi orang yang bertanggungjawab menjual barang-barang runcit tersebut. Baginda kemudian beralih kepada perniagaan menjual kerbau dan lembu.

Kejayaan baginda ketika itu adalah berkat kesungguhan dan sokongan para sahabat baginda. Salah seorang rakan baginda semasa di Penang Free School, Mr. Soo Keat, membantu baginda membawa masuk rempah cabai melalui Padang Besar.

Cabaran kedua mengiringi. Kejayaan perniagaan yang dijalankan menimbulkan kecurigaan di pihak pemerintah Jepun.

Atas ancaman pihak Jepun, baginda sekeluarga terpaksa membuat keputusan untuk berhijrah ke Kelantan, di kampung asal Tengku Budriah. Cabaran ketiga ialah mengharungi perjalanan ke Kelantan melalui Setul.

Baginda sekeluarga terpaksa singgah di Hat Yai selama semalam sebelum meneruskan perjalanan. Kesabaran dan untung nasib menyebelahi baginda sekeluarga. Akhirnya rombongan baginda selamat sampai ke Kampung Telipot di Kelantan dan tinggal di sana sehingga Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945.

CetakEmel