Semasa Muda

Detik Kelahiran

Pada tanggal 25 November 1920, seluruh isi rumah sebuah kediaman di pinggir bandar Arau berdebar-debar menanti kelahiran seorang waris takhta kerajaan negeri Perlis. Penantian ini berakhir dengan kelahiran penuh makna seorang putera keluarga Al-Marhum Syed Hassan dan Allahyarhamah Puan Wan Teh binti Endut yang diberi nama Syed Putra Jamalullail. Baginda merupakan waris tunggal Al-Marhum Syed Hassan setelah anakanda sulung baginda, Tuan Syed Harun meninggal dunia ketika masih kecil.

Zaman Kanak-Kanak

Ketika masih kanak-kanak lagi Tuanku Syed Putra memperlihatkan pekerti terpuji. Waris tunggal Al-Marhum Syed Hassan ini terdidik dalam lingkungan istana dengan penuh kasih sayang. Perilaku sedemikian juga dipengaruhi oleh cara didikan bonda dan nenda baginda yang begitu menitikberatkan adab dan disiplin pergaulan.

Pendidikan Al Quran

Pendidikan Al Quran diberi tumpuan utama sejak di peringkat kanak-kanak lagi. Menjadi suatu kelebihan bagi Tuanku Syed Putra, kerana nenda baginda, Puan Zainab sendiri seorang yang arif dalam bidang pembacaan Al Quran dan pengajian Fardu Ain. Baginda secara langsung mendapat asuhan pembacaan Al Quran dan Fardu Ain dari nenda baginda sejak berumur enam tahun. Ketika berumur sembilan tahun lagi, baginda telah khatam Al Quran. Hakikat ini menunjukkan bahawa kedua ayahanda dan bonda baginda begitu menitikberatkan pengasuhan agama kepada diri baginda.

Alam Persekolahan

Tuanku Syed Putra dididik dan diasuh dalam persekitaran yang serba sederhana. Sifat-sifat kesederhanaan dipupuk ke dalam diri baginda sejak di peringkat awal persekolahan lagi. Ketika berusia tujuh tahun, baginda dimasukkan ke Sekolah Melayu Arau. Ketika ini, baginda terdidik untuk merasai susah payah kehidupan rakyat terutama dalam usaha menimba ilmu pengetahuan. Baginda memilih untuk berjalan kaki ke sekolah yang jauhnya kira-kira sebatu dari istana.

Zaman Remaja

Melanjutkan Pelajaran

Pendidikan di sekolah Melayu masih belum memadai bagi Tuanku Syed Putra yang bakal mewarisi takhta pemerintahan negeri Perlis. Justeru itu, ayahanda Tuanku Syed Putra menghantarkan baginda melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah swasta, English Government School di Pulau Pinang. Baginda kemudian menimba pengetahuan di Hutching School sehingga darjah empat. Ketika berusia 15 tahun, baginda melanjutkan pelajaran ke Penang Free School atas kehendak ayahanda dan bonda.

Tuanku Syed Putra tidak menetap di asrama, sebaliknya baginda tinggal dengan nenda di sebuah rumah di Butterworth. Kediaman tersebut dibeli oleh ayahanda baginda khusus untuk tujuan tersebut. Baginda berulang alik dengan menaiki Feri dari Butterworth dan kemudian menaiki bas ke sekolah. Rutin yang terpaksa dilalui membentuk diri baginda menjadi peribadi yang mampu berdikari.

Kesibukan belajar bukan halangan kepada minat yang mendalam untuk menonton wayang. Cerita-cerita Inggeris menjadi kegemaran baginda. Hobi menonton cerita-cerita tersebut juga bertitik tolak dari minat yang mendalam terhadap bahasa Inggeris. Untuk itulah baginda sanggup berjalan kaki ke panggung wayang kerana ingin menjimatkan wang sebanyak dua sen bagi membeli tiket wayang. Adakalanya baginda menghabiskan masa menonton tiga tayangan gambar dalam masa sehari.

Dalam bidang sukan peringkat sekolah, baginda aktif terutama dalam permainan tenis, bola sepak dan olah raga.

Pada tahun 1935, baginda dipanggil kembali ke Perlis di atas kemangkatan ayahanda, Al-Marhum Syed Hassan.

Perlantikan Sebagai Bakal Raja

Dalam usia remaja lagi, baginda telah dilantik ke jawatan Bakal Raja setelah kemangkatan ayahanda baginda pada tahun 1935. Upacara tersebut telah disempurnakan oleh Tuanku Syed Alwi pada 14 April 1938.

Perlantikan ini mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Inggeris yang menaungi negeri-negeri Melayu ketika itu. Pengiktirafan itu membuka kesedaran baginda untuk mempersiapkan diri mengisi tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Kerjaya

Sebagai persediaan menerajui tampuk pemerintahan negeri, baginda menamatkan pengajian di Penang Free School untuk mendapat pendedahan di bidang perundangan dan pentadbiran dalam perkhidmatan kerajaan. Buat permulaan, baginda ditempatkan di Mahkamah Rendah Kangar, di bawah pengawasan Tuan Haji Mohd Hakim selama empat bulan. Seterusnya baginda berkhidmat di Pejabat Tanah, Kuala Lumpur dan Mahkamah Pengadil Kuala Lumpur antara tahun 1940 hingga tercetusnya Perang Pasifik pada tahun 1941.

muda 1

Rumah Kuning tempat kelahiran Tuanku Syed Putra, yang dahulunya berada di atas tapak Istana Cahaya.

muda 2

Sekolah Melayu Arau

muda 3

Penang Free School

muda 4  muda 5  muda 6  muda 7

muda 8  muda 9  muda 10  muda 11

 

CetakEmel