Tengku Fauziah

DYMM Tengku Fauziah - Simbol Kemesraan Rakyat Perlis

1

Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah binti Tengku Abdul Rashid, merupakan kerabat DiRaja Kelantan dan Terengganu yang diputerikan pada 6 Jun 1946. Baginda mendapat pendidikan awal di Zainab English School, Kota Bharu, Kelantan sehingga tahun 1963.

Semasa bersekolah baginda aktif dalam bidang sukan dan kesenian. Baginda terlibat dalam sukan bola jaring dan rounders serta sukan tenis, manakala dalam seni pula baginda sering mengambil bahagian dalam seni teater dan terlibat dalam beberapa pementasan drama. Seni tari juga menjadi bidang seni yang diminatinya. Baginda juga menggemari bidang hiasan dalam (interior decoration), masak-memasak, dan jahit-menjahit di samping bersukarela dalam khidmat masyarakat.

Semasa berusia 17 tahun, D.Y.M.M. baginda ditunangkan dengan D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin ketika itu D.Y.M.M. Tuanku masih menuntut di England. D.Y.M.M. Tuanku Tengku Fauziah sejak pertunangan itu selalu berdamping mesra dengan D.Y.M.M. Tuanku Syed Putra dan D.Y.M.M. Tengku Budriah binti Al-marhum Tengku Ismail yang di ketika itu bersemayam di Istana Negara selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, D.Y.M.M. Tengku Fauziah sering bersemayam di Istana Negara dan berulang-alik ke Kelantan.

Pada 15 Februari 1967 telah dilangsungkan Istiadat Perkahwinan antara D.Y.M.M. Tengku Fauziah dan D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin, Raja Muda Perlis ketika itu. D.Y.M.M. Tengku Fauziah juga dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Perlis, S.P.M.P pada 23 Oktober 1967.

Sebagai isteri kepada seorang pegawai tentera, D.Y.M.M. Tengku Fauziah turut bersama D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin pada ketika itu berkhidmat dengan Regimen Peninjau di Pahang. Baginda berdua dikurniakan putera sulung pada 30 Disember 1967, putera yang dilahirkan di Alor Setar itu diberi nama Syed Faizuddin Putra. Baginda juga dikurniakan puteri sulung yang diberi nama Sharifah Fazira pada 5 Jun 1973.

D.Y.M.M. Tengku Fauziah dimasyhurkan sebagai DY.T.M. Raja Puan Muda Perlis pada 30 April 1968. Apabila D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 31 Disember 1969, baginda berdua berangkat untuk bersemayam di Negeri Perlis. D.Y.M.M. Tengku Fauziah terus menyumbangkan khidmat sukarelanya membantu bekas tentera apabila berkenan menjadi Pengerusi Rayuan Pembinaan Wisma Pahlawan Negeri Perlis pada 1 April 1970.

Baginda juga aktif dalam beberapa pertubuhan sukarela di Perlis. Ciri kepimpinan serta minat baginda yang mendalam dalam kerja kemasyarakatan dan kebajikan di Perlis membolehkan baginda berjaya memimpin beberapa organisasi bukan Kerajaan antara lain termasuklah Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Perlis, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Negeri Perlis, dan juga Naib Yang Dipertua Taman Asuhan Darul Farah Tengku Hajah Budriah Perlis.

Dalam tahun 1997 baginda dianugerah Darjah Kebesaran Utama Negeri Perlis iaitu Darjah Seri Setia Tuanku Syed Putra Jamalullail (S.S.P.J.). Dua tahun kemudian baginda dianugerah oleh D.Y.M.M. Raja Perlis Darjah Tertinggi Darjah Kerabat Negeri Perlis ringkasnya D.K.

Baginda Raja Perempuan Perlis juga turut berangkat bersama D.Y.M.M. Raja Perlis melawat beberapa negara di dunia, termasuklah, United Kingdom, Peranchis, Jerman, Itali, Austria, Switzerland, Denmark, Sepanyol, Holland, Belgium, Mesir, Argentina, Brazil, Chile, Sweden, Norway, Amerika Syarikat, Mexico, Morroco, Arab Saudi, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Filipina dan Singapura. Dalam tahun 2000 baginda sekeluarga berangkat menunaikan Fardu Haji.

D.Y.M.M. Tengku Hajah Fauziah dimasyhurkan sebagai Raja Perempuan Perlis pada 14 Julai 2000.

 

2

3

4

5

6

7

8

9

 

a

Tuanku Raja Perempuan membuat lawatan ke Bakat Batalion Rejimen Kedua KOR Renjer DiRaja.

 

b

Majlis ulang tahun keputeraan Raja Perempuan Besar Perlis pada 28 mac 2001.

c

Kemesraan di antara menantu dan mertua.

 

d

Tuanku Raja Perempuan bersalam dengan warga Sekolah Dato' Kayaman.

 

e

Berangkat ke Majlis Mesra WI di Putra Palace pada 28 Januari 2001.

 

f

DYMM Raja Perempuan bermesra dengan isteri-isteri pembesar negeri di Istana Arau.

 

g

Tuanku Raja Perempuan menghadiri majlis perkahwinan Dr. Sunil Chopra.

 

h

Mengiringi Raja Permaisuri Agong melawat ke Taman Asuhan Darul Farah.

 

CetakEmel