5 Tahun Pemangku Raja

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

PENYEMPURNAAN AMANAT LIMA TAHUN SEBAGAI PEMANGKU RAJA PERLIS

Pada tanggal 12 Disember 2006 yang lalu, genaplah lima tahun D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memangku takhta pemerintahan Negeri Perlis berikutan pelantikan Seri Paduka Ayahanda Baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang Ke-12. Nama Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sudah lama menyegar dalam ingatan dan mewangi dalam hati rakyat Negeri ini. Baginda dikenali rakyat sebagai Putera Raja yang ceria, peramah, mudah mesra, proaktif, rajin bekerja dan berdisiplin. Tidaklah disangsikan bahawa baginda mampu memperkukuh dan meneruskan kesinambungan institusi raja berpelembagaan kontemporari Negeri ini. Di manakah tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi? Ciri-ciri peribadi yang dimiliki Baginda saling tak tumpah seperti keperibadian yang menghiasi Paduka Ayahanda dan Nenda Baginda yang dan telah lama mengakar dalam sanubari rakyat.

Selepas tamat tingkatan tiga dalam tahun 1982, Baginda berangkat ke Pulau Pinang selama setahun untuk menyambungkan pelajaran. Menyedari hakikat bahawa Baginda memerlukan pendedahan yang bersifat global, Baginda berangkat ke sekolah dan universiti di Melbourne, Australia selama lima tahun setengah untuk menuntut ilmu dalam suasana multibudaya internasional. Setelah dianugerahi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi, Baginda memulakan dunia kerjaya dengan berkhidmat di Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selama 12 tahun. Dalam jangka masa itu, hampir tujuh tahun Baginda mengisi masa bertugas di benua Eropah.

Setelah puas menimba dan meraih ilmu, Baginda berangkat pulang ke negeri tumpah darah dengan diiringi DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis pada 1 Februari 2002. Keberangkatan pulang Baginda berdua amat dinanti-nanti oleh seluruh rakyat Negeri Perlis. Dengan kehadiran DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang kreatif, prihatin dan mesra rakyat di samping Baginda, semakin bertenagalah pembangunan Negeri Perlis.

Pentadbiran dan Pengurusan Negeri

Sejak diisytiharkan sebagai Pemangku Raja Perlis, demi menyempurnakan titah Seri Paduka Ayahanda Baginda untuk tempoh lima tahun dan berbekalkan pengalaman di luar negara, Baginda memberikan tumpuan khusus pada aspek pembangunan sahsiah dan sosio-ekonomi rakyat di samping berusaha menambahbaik kemudahan asas Negeri Perlis. Baginda memainkan peranan yang aktif dan berfungsi secara berhikmah menyokong dan mendokong usaha-usaha murni kerajaan Seri Paduka Ayahanda Baginda di bawah kepemimpinan berkesan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis. Baginda terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti anjuran kerajaan dan masyarakat.

Dalam beberapa banyak titah, Baginda sering mengutamakan persoalan integriti individu dan kerajaan. Baginda sering meminta setiap individu, khususnya penjawat awam, bersikap telus dalam usaha menunaikan amanah dan tanggungjawab. Penjawat awam sentiasa digesa menambahkan ilmu dan diminta bekerja secara sistematik. Ketua-ketua jabatan didorong supaya mengagih-agihkan tugas kakitangan berdasarkan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki individu.

Jentera kerajaan seluruhnya diminta bertanggungjawab berteraskan konsep "collective responsibility" di samping menitikberatkan hubungan dalam organisasi dan dengan orang awam berlandaskan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.. Baginda menganjurkan supaya organisasi diurus secara berhikmah. Kakitangan kerajaan diminta berlembut apabila bertutur kata, tepat tatkala memberikan arahan, jelas apabila menguraikan fikiran dan pandangan, serta menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua peringkat masyarakat semasa berkomunikasi dengan mereka.

Lebih mendasar daripada itu, bagi Baginda, kakitangan awam perlu mewujudkan hubungan yang baik dan memberikan layanan yang saksama kepada semua. Mereka perlu mengutamakan sikap bertoleransi serta menjadi pemaaf apabila berhubung dengan rakyat. Dalam konteks inilah Baginda sering mengingatkan agar setiap individu perlu sentiasa menambahkan ilmu, mendapatkan tunjuk ajar daripada orang yang berilmu dan diberi latihan yang sewajarnya dari semasa ke semasa.

Selain kakitangan awam, baginda tidak lupa akan para pemimpin yang mengurus dan mentadbir Negeri. Dalam titah ucapan Sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-47 yang lalu, Baginda mengingatkan pemegang jawatan dan pemimpin lama yang berpengalaman supaya melatih dan menyediakan barisan pemimpin baru dengan sebaik mungkin untuk memastikan Negeri Perlis tidak ketandusan barisan pemimpin pelapis yang efektif dan produktif. Dalam kesempatan yang sama, Baginda menasihati para pemimpin muda supaya tidak terlalu ghairah mengejar pangkat atau jawatan. Mereka dituntut supaya berhemah dan berhikmah apabila diberi peluang bersuara. Dalam masa yang sama, mereka digalakkan berfikir untuk menjana idea dan pendekatan baru yang serasi dengan keadaan dan tuntutan semasa supaya dapat bersama-sama dalam arus perdana membangunkan potensi bangsa dan negara.

Bersendikan nilai teras yang murni dan keperibadian yang tinggi, tanpa mengenali erti penat dan lelah Baginda turun ke padang untuk memastikan taraf kehidupan rakyat dapat dipertingkatkan tanpa kompromi. Beberapa banyak projek dan aktiviti produktif digerakkan dan diaktifkan untuk mensejahterakan Negeri Perlis. Sesuai dengan pengalaman Baginda yang luas dalam bidang pengurusan, D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam setiap kesempatan yang ada, sentiasa mengingatkan semua pihak supaya merancang dan membangunkan Negeri mengikut pelan induk dan perancangan strategi jangka pendek dan jangka panjang yang menyeluruh. Pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam pelaksanaan program dan projek pembangunan sering digesa supaya memberikan komitmen yang padu untuk mencapai matlamat perancangan yang ditentukan. Selain itu, dalam kerangka pemikiran pengurusan Baginda, objektif pembangunan Negeri yang realistik perlulah diutamakan, diukur secara berkala dan direalisasikan supaya kerajaan Negeri Perlis dapat memaksimumkan pulangan terhadap pelaburan yang dikeluarkan.

Dalam konteks ini, seluruh rakyat Negeri Perlis sewajarnya bersyukur kerana apa jua pemikiran, idea dan inisiatif Baginda mudah dilaksana. Kemudahan ini wujud berkat keserasian, kesefahaman dan hubungan silatulrahim yang erat antara Baginda dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, pembesar negeri, pemimpin kerajaan dan masyarakat setempat yang sentiasa sayang dan taat kepada Baginda.

IMEJ NEGERI PERLIS

1

Sebagai suatu kaedah untuk meningkatkan imej Negeri Perlis, Baginda Tuanku melalui Perbadanan Perpustakaan Negeri Perlis menitahkan supaya laman web Di-Raja Negeri Perlis dibangunkan. Laman web Di-Raja yang pertama seumpamanya dibina di negara ini mula beroperasi pada 9 Mei 2003 dan dapat dicapai melalui alamat www.perlisroyalty.gov.my. Laman ini memuatkan pelbagai maklumat tentang pemerintahan di bawah naungan Seri Paduka Nenda Baginda, Almarhum DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail, Seri Paduka Ayahanda Baginda, D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Baginda sendiri. Selain itu, laman ini turut memaparkan maklumat tentang individu yang mendapat anugerah gelaran Dato' di Negeri ini. Suatu keistimewaan laman web ini ialah Baginda membuka peluang seluas mungkin kepada semua golongan rakyat berinteraksi secara terus dengan Baginda supaya Baginda secara langsung, cepat dan mudah dapat memahami dan mencuba mengatasi apa jua masalah yang dihadapi rakyat jelata

Dalam konteks antarabangsa, Baginda dan D.Y.T.M Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut berkenan berangkat bercemar duli dalam beberapa acara. Antaranya, Tuanku berdua mengetuai delegasi filem Puteri Gunung Ledang ke Festival Filem Antarabangsa di Venice Itali. Sebagai Canselor Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM), Baginda mengetuai rombongan KUKUM menghadiri pertandingan robot ROBOCON Asian Broadcasting Corporation (ABU) Asia Pasifik 2004 di Seoul Korea Selatan dan 2005 di Beijing, China berserta lawatan kerja memeterai perjanjian persefahaman bersama Universiti-Universiti di negara Sepanyol dan Greece. Baginda pernah juga menemui Syaikhul Azhar Universiti Al-Azhar, Mesir dan ke Maghribi, sebagai ketua rombongan Kerajaan Seri Paduka Ayahanda Baginda, untuk mendapatkan pengiktirafan Institusi Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs.) daripada universiti-universiti yang dikunjungi.

Selain itu, Baginda pernah menjadi tetamu di-Raja untuk merasmikan Festival Kebudayaan dan Makanan Malaysia di Basel Switzerland. Baginda turut merasmikan perayaan ulangtahun Ejen Penjualan Am Sistem Penerbangan Malaysia di Colombo, Sri Lanka. Selanjutnya, Baginda turut berkenan berangkat menyaksi pelancaran Koleksi 100 tahun Greta Garbo Montblanc di Shanghai, China dalam bulan Oktober 2005 dan 100 tahun jenama tersebut dalam bulan Mac 2006 dan membuat lawatan kerja bersama-sama pengurusan Allianze College of Medical Sciences (ACMS) ke Republik Ireland, Emiryah Arab Bersatu dan juga England. Kesudian Baginda berdua berangkat meluangkan masa bercemar Duli secara tidak langsung berjaya mempromosikan Negeri Perlis di peringkat global.

Di dalam negara pula, Baginda sendiri turut berkenan berangkat mengunjungi pameran-pameran antarabangsa seperti Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA), Defence Asia, Langkawi International Festival of Arts (LIFA) dan sebagainya di samping berkenan menerima menghadap para pengunjung dari negara-negara luar termasuklah menteri kabinet, duta besar, konsul kehormat, tokoh korporat, misalnya dari Republik Indonesia, Brunei Darussalam, Ireland, Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan Switzerland.

Keceriaan

Sebagai usaha mewujudkan suasana yang ceria dan menjadikan Negeri Perlis berdaya tarikan bagi pelancong luar dan domestik, Baginda menggalakkan idea dan usaha yang dapat memperindah persekitaran bandar-bandar di Negeri Perlis. Antara usaha-usaha yang telah menjadi kenyataan ialah pembinaan jam-jam besar, penanaman pokok bunga kertas di sekitar bandar, pemasangan bendera Negeri di jambatan-jambatan, pertandingan perahu berhias di Kuala Perlis dan Sungai Berembang, pengecatan warna-warna menarik pada bangunan-bangunan rumah kedai di Jalan Kangar, dan pemasangan lampu di Menara Telekom Kangar. Mewarnai kediaman sementara mangsa kebakaran Kuala Perlis dengan beberapa warna campuran yang menarik adalah antara ilham kalbu D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra dan DYTM Raja Puan Muda Perlis sendiri. Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) adalah antara Jabatan dan agensi yang memainkan peranan utama untuk bersama-sama menjayakan program-program tersebut di samping agensi-agensi lain di Negeri ini.

Selain itu, Kerajaan Seri Paduka Ayahanda Baginda sedang menimbangkan beberapa cadangan Baginda dan DYTM Raja Puan Muda untuk menambahkan keindahan Negeri Perlis dengan pelbagai hiasan dan binaan seperti floral clock, air pancutan yang ditembakkan dari dasar laut atau tasik, dan mencantikkan water front Sungai Perlis yang terletak bersebelahan dengan Dataran Keris di Kangar. Di samping itu, sebuah masjid, hasil sumbangan seorang sahabat Baginda, bakal dibina berdekatan dengan jeti di Kuala Perlis. Jika hasil kajian tentang pembinaan itu positif dan dipersetujui semua pihak, maka masjid itu akan menjadi satu lagi mercu tanda baru di Negeri ini tidak lama lagi.

Bandar Di-Raja Arau pula, yang sekian lama agak suram, menjadi semakin ceria sejak Baginda Pemangku Raja bersemayam di Istana Arau. Untuk memeriahkan Bandar Di-Raja itu, langkah pertama yang dilakukan Baginda ialah menukarkan bangunan kuarters kakitangan yang usang, tidak selamat dan tidak sesuai lagi didiami, yang terletak di belakang istana, menjadi padang bola mini yang berlanskap indah. Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Negeri telah membina taman permainan kanak-kanak di sebelah luar pagar padang tersebut dan membina sebuah taman rekreasi mini serbaguna rakyat di belakang istana yang bersebelahan dengan tapak pasar Arau sekarang.

Dalam masa yang sama, Galeri Di-Raja yang tersergam indah di sebelah Istana Arau siap terbina. Di Galeri Di-Raja, yang menempatkan koleksi-koleksi Di-Raja tiga generasi, ditempatkan juga Pejabat Setiausaha Sulit Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis. Keceriaan Bandar Arau semakin terserlah apabila ilham Baginda direalisasikan. Jejambat di Bandar Arau dicat berwarna-warni. Kini, jejambat Bandar Arau menjadi contoh, dalam aspek keceraiaan warnanya, bagi jejambat-jejambat lain di sepanjang lebuh raya Kuala Perlis-Changloon. Keceriaan Bandar Di-Raja itu semakin menyerlah sebaik sahaja mercu tanda replika Bunga Emas yang diilhamkan DYTM Raja Puan Muda siap dibina.

Di samping projek-projek yang telah dibangunkan, Bandar Di-Raja Arau akan terus menongkah arus masa bersama-sama dengan beberapa perancangan lain yang sedang dipertimbangkan seperti penaiktarafan keceriaan lanskap Masjid Negeri Arau, pemindahan hak pengendalian Masjid lama dan Makam Di-Raja lama Arau kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perlis.

Kebersihan Negeri Perlis

D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra amat prihatin tentang kebersihan. Secara berulang-ulang kali Baginda menitahkan agar Negeri Perlis meningkatkan imejnya sebagai negeri terbersih di negara ini. Baginda mahu rumput dan lalang di dalam kawasan rumah, pejabat, kedai dan di antara jalan raya dengan pagar rumah rakyat jelata sentiasa dipotong rapi. Parit dan longkang tidak dibiarkan tersumbat. Rakyat digalakkan membersihkan laluan air secara sukarela dan tidak terlalu mengharapkan Majlis Perbandaran Kangar sahaja membersihkannya. Bagi Baginda, penjagaan kebersihan Negeri Perlis menjadi tanggungjawab bersama setiap anggota masyarakat. Baginda sering menyelar sikap segelintir anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab yang suka mengotorkan tempat-tempat awam.

Kempen bergotong-royong secara besar-besaran seperti membersihkan masjid, surau dan tanah perkuburan yang dilaksana bersempena menyambut ketibaan Ramadhan dan Aidilfitri menjadi acara rasmi setiap tahun. Gotong-royong sempena Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis dan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang diadakan setiap tahun ialah hasil inisiatif Baginda juga. Sungguhpun amalan ini masih belum menjadi budaya khusus rakyat di negeri ini, peringatan yang sering dititahkan Baginda sudah mula mendapat sambutan rakyat daripada semua lapisan.

Untuk memastikan budaya baik ini lebih cepat menyerap ke dalam sanubari rakyat, Baginda turut menggesa organisasi milik Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menjayakan sebarang perayaan ulang tahun agar mengadakan kempen bergotong-royong bersama rakyat setempat. Acara ini dititahkan supaya menjadi satu daripada acara tetap di samping acara-acara keraian lain yang lazimnya dianjurkan di pejabat masing-masing. Aktiviti gotong-royong ini menjadi lebih signifikan khususnya di dua pintu masuk utama ke Negeri ini iaitu di Kuala Perlis dan Padang Besar yang dikategorikan sebagai kawasan strategik pelancongan.

Pendidikan

D.Y.T.M Tuanku Raja Muda amat prihatin tentang kecemerlangan pendidikan generasi muda Negeri ini. Sejajar dengan keprihatinan Baginda dan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan negara, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dititahkan supaya mencapai objektif meletakkan sekurang-kurangnya sebuah sekolah di Perlis dalam senarai lima buah sekolah terbaik negara, dan sekurang-kurangnya seorang pelajar dari Negeri Perlis termasuk dalam senarai sepuluh orang pelajar terbaik di negara ini dalam semua jenis peperiksaan. Perlis diharapkan menjadi yang terbaik antara negeri-negeri yang terbaik daripada segi catatan jumlah peratusan pelajar yang lulus dalam peperiksaan awam. Selain aspek akademik, Baginda turut menyarankan agar Perlis mengungguli kejohanan-kejohanan sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) serta aktiviti-aktiviti ko-kurikulum yang lain. Para pelajar acapkali dinasihati agar tidak menyertai aktiviti sukan dan ko-kurikulum secara sambil lewa atau sekadar mengambil bahagian sahaja.

Melalui Yayasan Tuanku Syed Putra yang dipengerusi Baginda sendiri dengan kerjasama JPN dan Radio Malaysia Perlis, Baginda mengilhamkan program 'online' Tuition On Air melalui siaran radio 102.9 Perlis FM untuk membantu para pelajar menyiapkan diri sebelum menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Selain itu, untuk memastikan keselamatan para pelajar terjaga, Baginda turut mengalakkan pelajar sekolah memakai vest yang mempunyai pemantul cahaya apabila berbasikal atau berjalan ke sekolah. Untuk meningkatkan motivasi institusi-institusi pengajian tinggi pula, Baginda sentiasa berangkat bercemar duli menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh KUKUM, UiTM, Politeknik dan JPN.

Sukan

Sebagaimana diketahui umum, Baginda ialah peminat sukan nombor satu di Negeri Perlis, terutama sukan bolasepak. Baginda suka menyemarakkan semangat rakyat Perlis supaya bergiat dalam bidang sukan. Dalam kerangka pemikiran Baginda, aktiviti bersukan bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan seseorang, menerapkan disiplin dan menghindarkan gejala-gejala negatif. Baginda selalu mengingatkan rakyat bahawa sukan jika diceburi secara serius dan profesional berupaya menjana sumber pendapatan keluarga.

Dalam aspek pentadbiran sukan, Baginda turut memberikan penekanan yang serius terhadap sikap para pentadbirnya. Pemegang jawatan dalam persatuan-persatuan sukan di Negeri ini diminta supaya memegang jawatan kerana mereka memiliki kualiti tertentu yang dapat membangunkan prestasi sukan yang berkaitan. Pemimpin-pemimpin badan sukan yang didambakan oleh Baginda ialah pemimpin yang benar-benar berminat dengan sukan yang berkaitan, berpengalaman dalam jenis sukan tersebut, tidak mempunyai sebarang agenda peribadi, dapat meluangkan masa yang secukupnya, berkeupayaan daripada segi kewangan, mempunyai wawasan sukan yang hebat, berpemikiran terbuka dan inovatif serta mempunyai tenaga pembantu yang jujur dan komited. Baginda percaya bahawa dengan komitmen yang sedemikian rupa sahaja sukan dapat berkembang maju di negara ini.

Di samping itu, Baginda turut ingin melihat lebih banyak kaum wanita melibatkan diri dalam bidang sukan. Sikap majoriti mereka yang berhenti bersukan sejurus tamat alam persekolahan sering mendapat kritikan. Dalam masa yang sama, Baginda turut menitahkan agar dalam tahun 2002 negeri Perlis dapat menciptakan imej pakaian bagi semua ahli sukannya supaya mudah dikenali ramai. Idea ini terbit daripada pengalaman Baginda melihat ahli-ahli sukan Brazil dan Argentina yang memakai rekabentuk pakaian sukan yang warnanya seragam tanpa mengira sukan yang diceburi.

Minat Baginda Tuanku Syed Faizuddin dalam sukan bolasepak tiada tolok bandingnya. Baginda pernah mewakili pasukan bolasepak Negeri Perlis dalam kejohanan anjuran MSSM ketika bersekolah dahulu. Jadi tidak hairanlah Baginda berkenan menjadi Penaung Ken Barnes Soccer Skills. Melalui projek ini, kini Negeri Perlis mempunyai sebuah lagi akademi bolasepak yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi. Terdapat lebih daripada 40 orang pemain remaja dari seluruh negara yang dilatih di sini. Seorang daripada pelatih itu berjaya dipilih untuk menandatangani kontrak school boy dengan sebuah kelab bolasepak Inggeris tahun lalu.

Untuk memeriahkan lagi arena bolasepak Negeri peringkat sekolah, Baginda dengan kerjasama Maktab Rendah Sains Mara Beseri, JPN dan British Council turut mengundang Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak gergasi yang diminati Baginda iaitu Manchester United FC. Kehadiran Pengarah Teknikal itu dimanfaatkan dengan mengadakan dialog selama tiga hari dengan 100 orang jurulatih bolasepak sekolah-sekolah di negeri Perlis. Melalui dialog ini diharapkan dapat mengalakkan anak-anak muda negeri ini meningkatkan kecemerlangan dan kemahiran dalam sukan bolasepak.

Selain itu, Baginda turut menyumbangkan idea penganjuran Kejohanan Liga Bolasepak Piala Bumita ala Eropah. Kejohanan ini mendapat sambutan daripada 23 pasukan yang bermain setiap hujung minggu selama sepuluh bulan. Kejohanan ini diubahsuaikan konsepnya pada tahun 2005 apabila liga bolasepak anjuran Persatuan Bolasepak Perlis dihidupkan semula. Hasrat Baginda hanya satu iaitu mahu melihat pasukan-pasukan dari Negeri Perlis mengambil bahagian di peringkat kebangsaan seperti yang disertai KUKUM dalam kejohanan Celcom Inter-Varsity, MIC dalam kejohanan Bradhan Cup, dan PDRM dalam kejohanan Piala KPN. Baginda mahu setiap pasukan bersedia sepanjang tahun dan tidak berlatih semata-mata untuk sesuatu kejohanan. Berkat usaha gigih dan perangsang yang diberikan Tuanku kepada para pegawai dan pemain, terhasillah pelbagai kejayaan, misalnya kemaraan cemerlang pasukan bolasepak Singa Utara menjadi Naib Johan Piala FA 2004, Juara Piala Malaysia 2004 dan 2006 Juara Liga Super 2005 dan Naib Johan Piala Malaysia 2005. Tahun 2006 buat julung-julung kalinya pasukan Perlis telah layak mewakili Malaysia di dalam kejohanan bolasepak juara-juara AFC.

Pelancongan

Baginda sedar bahawa industri pelancongan sesungguhnya menjanjikan pulangan pendapatan yang lumayan kepada negeri dan rakyat seandainya diaturkan dan dipromosikan secara berkesan. Bersempena dengan kempen "Tahun Melawat Perlis 2003-2005" yang dilancarkan dengan rasminya oleh Baginda sendiri yang baru berakhir, Baginda tidak berlengah-lengah berkongsi pengalaman dengan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) serta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB). Beberapa banyak kenalan Baginda dalam industri pelancongan dan media peringkat global, khususnya dari Switzerland, Austria, Hungary, Republik Czech, Jerman, Australia dan United Kingdom diundang ke Negeri ini. Dengan cara ini Baginda dapat memperkenalkan Perlis yang 'Permai Lagi Mempesona' ini di mata dunia. Sungguhpun Negeri Perlis belum mempunyai kemudahan penginapan yang bertaraf lima bintang dan tempat-tempat kunjungan yang terkenal di negara luar, namun sedikit banyak promosi yang diberikan oleh para agen dan agensi media yang diundang dapat memperkenalkan Perlis melalui pelbagai penulisan yang dimuatkan di dalam majalah-majalah antarabangsa.

Tuanku Raja Muda turut mengilhamkan perjumpaan kesenian pada setiap petang Selasa di Taman Bunga berhadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dikelolakan oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN). Dengan bantuan KUKUM, UiTM dan Maktab Perguruan, program ini dikendali untuk menggalakkan muda-mudi di Negeri ini mengasah bakat dan menyerlahkan diri dalam dunia muzik, lukisan dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan. Secara tidak langsung, aktiviti seumpama ini dapat menghindarkan muda-mudi terjebak dalam gejala-gejala yang tidak diingini. Namun program tersebut terpaksa dihentikan kerana sambutan setakat ini masih belum sebagaimana diharapkan.

Agama

2

Komitmen Baginda kepada Agama Islam amat tinggi. Pada awal tahun 2004 dan 2006 Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis mengerjakan ibadah haji. Di bawah naungan Baginda sebagai Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jawatankuasa Pemahaman dan Penghayatan Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Perlis ditubuhkan. Antara lain, jawatankuasa ini bertujuan mengukuhkan pegangan tersebut seperti yang termaktub dalam rang undang-undang tubuh Kerajaan Paduka Ayahanda Baginda.

Selain itu, menurut budi bicara dan pandangan jauh Baginda sendiri, badan khas dakwah MAIPs diwujudkan selepas peristiwa kebakaran melanda pekan Kuala Perlis dalam tahun 2003. Badan ini ditubuhkan untuk memastikan tindakan segera diambil untuk membantu anggota masyarakat Islam yang dilanda bencana alam seperti kebakaran, banjir besar dan sebagainya. Dengan adanya tindakan segera dan bantuan yang diberikan kepada golongan sasaran khusus itu, dapatlah maruah dan imej masyarakat yang beragama Islam seluruhnya dipelihara.

Di bawah naungan Baginda juga, sebuah bangunan empat tingkat di bandaraya Kaherah, Mesir dibeli oleh MAIPs. Impian yang tertangguh sejak 1970-an ini dapat direalisasikan dengan bantuan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Kerajaan Seri Paduka Ayahanda Baginda, Baitulmal dan beberapa orang perseorangan. Bangunan ini digunakan untuk menempatkan para penuntut Perlis yang belajar di sana di bawah satu bumbung. Ketika menjadi Pemangku Raja, Baginda sudah tiga kali melawat para pelajar Perlis di sana sambil memberikan titah perangsang dan nasihat kepada mereka. Baginda mahu juga para pelajar di sana melebarkan jaringan dengan penuntut-penuntut lain yang datang dari seluruh dunia dan tidak membataskan diri dengan semata-mata berkawan dengan masyarakat Malaysia sahaja.

Sementara itu, dalam usaha mendampingi rakyat di samping menunaikan solat jumaat dan bertarawih dalam bulan Ramadan di masjid-masjid yang berlainan setiap minggu, D.Y.T.M Tuanku Raja Muda Perlis turut membuat lawatan ke masjid-masjid dua bulan sekali ke seluruh pelosok Negeri. Semasa penulisan ini diusahakan, hamper lapan puluh lima peratus daripada 102 buah masjid di Negeri ini telah dilawati Baginda. Lawatan-lawatan seumpama inilah yang memberikan peluang kepada Baginda untuk bertemu para pegawai masjid dan ahli kariah dalam usaha Baginda mendapatkan 'first hand info' dan memahami pelbagai isu yang berkaitan dengan syiar Islam di Negeri ini. Daripada pertemuan seumpama ini jugalah terhasilnya idea mengaplikasikan pelbagai tindakan seperti penyeragaman teks khutbah Jumaat mingguan di seluruh negeri, penyeragaman konsep piawaian pembinaan bangunan masjid dan penyeragaman senarai tugas pegawai-pegawai masjid di Negeri ini.

Antara tindakan berani Baginda yang berkaitan dengan urusan agama ialah bertitah secara kritis di perasmian penutup Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-47. Dalam titah itu Baginda mencadangkan para pemimpin mencontohkan peranan dan fungsi imam zaman lampau, khususnya yang berkaitan dengan konsep tegur-menegur antara pemimpin dan yang dipimpin. Menurut Baginda, pemimpin dan anggota jamaah mestilah bersedia menegur dan ditegur secara berhemah seandainya terdapat kesalahan dilakukan. Bagi Baginda, sikap ini wajar diamalkan kerana tiada yang sempurna di alam ini melainkan Allah Subhanahu Wataala dan al-Quran.

Dalam majlis yang sama, Baginda turut mempersoalkan isu umat Islam masa kini yang tidak terbudaya menjadi pelopor teknologi seperti ulamak-ulamak zaman keagungan Islam, malah lebih terdorong untuk menjadi pengikut perkembangan teknologi semata-mata. Seterusnya, Baginda turut mempersoalkan pelaksanaan Tilawah al-Quran. Baginda mahu konsep Tilawah al-Quran dinilai semula dari segi pendekatan dan persembahannya supaya menepati selera dan tuntutan kehendak penonton dan pendengar dewasa ini dan bersesuaian juga dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.

Sungguhpun lebih banyak memberikan fokus pada pemantapan syiar Islam, Baginda tidak pula mengabaikan rakyat yang beragama dan berfahaman lain. Secara menyeluruh, kepemimpinan Baginda dilihat oleh rakyat sebagai tonggak penyatu yang sungguh berkesan. Baginda sentiasa berangkat bercemar duli menghadiri dan menghormati hari perayaan bangsa-bangsa lain. Dalam suatu acara lain, D.Y.T.M Tuanku Raja Muda sendiri pernah mengundang pemimpin semua agama di Negeri ini untuk bertukar-tukar fikiran supaya dapat berganding bahu melonjakkan Negeri ini ke tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di bawah satu payung; Payung Mahkota Di-Raja.

3

Canselor KUKUM (Nama baru ditukar kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bermula 2007)

4

D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilantik sebagai Canselor KUKUM selepas mendapat pekenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkuatkuasa pada 1 September 2003. Upacara penyerahan watikah perlantikan Canselor kepada Baginda melalui Rektor KUKUM, Lt. Kol. Prof. Dato' Dr. Kamarudin Hussin telah diadakan di Istana Arau pada 4 November 2003. Pada tarikh 17 Julai 2004 pula telah diadakan Istiadat Pemasyhuran Canselor bagi menzahirkan perlantikan Baginda sebagai Canselor Universiti ini. Sebagai Canselor, antara tugas-tugas Baginda ialah mempengerusikan majlis konvokesyen dan melaksanakan kewajipan-kewajipan lain yang diberi mengikut pelembagaan. Baginda juga boleh membuat, meminda dan membatalkan mana-mana statut tertakluk kepada beberapa keperluan lain.

Sepanjang menjadi Canselor KUKUM, Baginda begitu prihatin dan mengambil berat dalam setiap aspek di Universiti ini termasuk pengurusan, pembangunan kampus, pengajaran dan penyelidikan serta hubungan antarabangsa. Baginda juga, bersama-sama DYTM Raja Puan Muda Perlis, sangat pro-akitf dan sering bercemar Duli berangkat hadir dalam setiap program serta aktiviti rasmi KUKUM dan ini telah membuatkan Baginda berdua amat disayangi oleh setiap warga Universiti ini. Sebagai Canselor juga, Baginda telah meletakkan harapan yang tinggi supaya semua tenaga kerja dan pelajar di KUKUM bersama-sama membantu dan berkerjasama dalam menjayakan misi dan visi Universiti.

Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Tentera Darat

D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah dianugerahkan tauliah sebagai Komander Rejimen ini yang baru berpangkat Kolonel pada 1 April 2002 bagi mengantikan Paduka Ayahanda Baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Sebagai Komander, Baginda kemudiannya telah dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral setelah diluluskan perjawatan baru dan Majlis Pemakaian Pangkat ini telah dilaksanakan pada di Istana Melawati, Putrajaya. Baginda turut dipersembahkan penghormatan 'Maroon Beret' dari Tentera Darat Malaysia.

Penutup

Sesungguhnya rakyat Negeri Perlis amat bertuah kerana dapat bernaung di bawah kepemimpinan pemerintah yang kaya dengan pengalaman di peringkat antarabangsa dalam usaha membawa Negeri Perlis ke tahap yang membanggakan di peringkat lokal dan global.

CetakEmel