Mukadimah

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis

Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, diputerakan pada 30 Disember 1967. Baginda merupakan anakanda sulung, dan putera tunggal, daripada dua anakanda yang juga merupakan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mula menuntut di Sekolah Rendah Kebangsaan Putra, Kangar, dari 1974 hingga 1979. Dari 1980 hingga 1982 Baginda melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Derma, Kangar. Pada 1983, menyusuli langkah awal ayahanda Baginda Tuanku Syed Sirajuddin dan nenda Baginda Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Faizuddin menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Penang Free di Pulau Pinang. Pada 1984 pula, Baginda berangkat ke Melbourne, Australia, untuk mengikuti pengajian tingkatan lima dan seterusnya matrikulasi Tingkatan Enam di Carey Grammar School. Seterusnya, pada 1986 Baginda mendaftar diri sebagai mahasisiwa di La Trobe University, Bundoora, Melbourne. Pada tahun 1989 Baginda dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (B.Ec.) oleh universiti berkenaan. Perhubungan Baginda dengan La Trobe University tidak putus begitu sahaja. Baginda kini menjadi penaung Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM). Pada tahun 2002, universiti tersebut telah menganugerahkan Baginda dengan 'La Trobe Medal' iaitu Penghormatan Tertingginya. Baginda merupakan penerima kedua anugerah tersebut di dunia selepas Presiden Negara Greece.

1

Kerjaya Baginda sebagai eksekutif di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bermula pada tahun 1990 di mana Baginda menjawat jawatan Pelatih Pengurusan di dalam bahagian Pengurusan Am. Pada tahun 1992-1993, Tuanku Syed Faizuddin dilantik sebagai Eksekutif Pemasaran dan Jualan (Antarabangsa) untuk pasaran Australia, Eropah, Timur Tengah dan India. Baginda kemudian diberi tanggungjawab lain iaitu bagi pasaran Asia dan Afrika dari tahun 1994-1995.

Dari tahun 1995-1998 Tuanku Syed Faizuddin dilantik pula sebagai Pengurus Kawasan MAS untuk negara-negara Sepanyol dan Portugal dan dipindahkan ke Madrid. Pada tahun 1998 pula Tuanku Syed Faizuddin sekali lagi bertukar sebagai Pengurus Kawasan Switzerland, Austria dan Eropah Tengah dan seterusnya dipindahkan ke Zurich. Baginda menamatkan kerjaya selama 12 tahun dengan Penerbangan Malaysia pada 31hb. Januari, 2002 dan membawa balik banyak pengalaman di luar negara untuk ditabur dan dikongsi dengan rakyat dan negeri Perlis tercinta.

 2

Tuanku Syed Faizuddin pada tahun 1976 selepas memenangi perlawanan
bola sepak di Sekolah Rendah Kebangsaan Putra, Kangar.

Di dalam sukan Baginda merupakan peminat setia bola sepak, sama ada sebagai pemain, penonton ataupun penyokong. Baginda merupakan peminat setia bola sepak Liga Perdana Inggeris, Manchester United, dan dilantik sebagai Penaung Kelab Penyokong Bolasepak tersebut bagi negara Malaysia. Sehingga hari ini Baginda masih bermain bersama rakan-rakan dalam pasukan bolasepak Istana FC Perlis pada setiap petang bila berkesempatan dan bercemar duli berangkat menyaksikan setiap perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan Perlis Singa Utara. Ketika bersekolah di Perlis, Baginda turut mewakili pasukan negeri ke kejohanan bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat umur 12 tahun ke bawah pada tahun 1979. Ketika remaja, Baginda turut mewakili sekolah dalam sukan hoki, sepak takraw, badminton dan ping-pong.

Tuanku Syed Faizuddin telah dianugerahkan dengan pelbagai anugerah kebesaran. Pada 1998, sempena perayaan Hari Keputeraan rasmi Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Faizuddin telah dianugerahkan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran "Dato Seri". Seterusnya pada 1 Ogos 2000, Baginda dimasyhurkan gelaran "Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis". Akan tetapi, disebabkan Baginda bertugas di luar negara, Baginda hanya mengambil peranan dan fungsi rasmi sebagai Raja Muda selepas upacara perisytiharan rasmi dilangsungkan pada 12 Oktober 2000.

Tanggal 12 Disember 2001, Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Perlis untuk tempoh lima tahun apabila Ayahanda Baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Yang Ke 12. Pada tarikh tersebut juga Baginda dikurniakan dengan bintang kebesaran Darjah Kerabat Perlis (D.K.).

Sepanjang tempoh menjadi Pemangku Raja, Baginda menekankan agar dapat diperlihatkan peningkatan di dalam kemudahan asas kepada rakyat, sumber pendapatan rakyat dan negeri di samping imej negeri Perlis. Baginda turut menyokong kuat aktiviti kerajaan seperti kempen Tahun Melawat Perlis 2003-2005 dan program ke arah Perlis Cemerlang Negeri Gemilang Sukan menjelang tahun 2006.

Baginda turut menerajui Rejimen 504 Askar Wataniah (RAW) yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis, sebagai Komander berpangkat Kolonel mengambil alih tempat ayahanda Baginda ketika menjadi Raja Muda dahulu. Pada April 2004, Baginda dinaikkan pangkat sebagai Brigadier Jeneral. Pada bulan yang sama Baginda menerima status Kehormat 'Maroon Beret' serta Sayap Penerjunan 10 Briged Para Tentera Darat Malaysia. Baginda turut menerima sayap penerjunan daripada Polis DiRaja Malaysia serta 'beret UTK' dari PDRM.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengambil alih jawatan yang disandang oleh ayahanda Baginda sejak sekian lamanya sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Presiden Kelab Golf Putra Perlis di Sungei Batu Pahat disamping menerajui sebagai Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra.

Baginda turut dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sebagai Cancelor Pertama Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM), yang kemudiannya ditukar nama kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tuanku Syed Faizuddin juga menjadi penaung kepada beberapa pertubuhan. Antaranya ialah Malaysia Chefs Association, Projek Bola Sepak Antarabangsa Ken Barnes Soccer Skills Se-Malaysia, Persatuan Boling Padang Perlis, serta Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Perlis.

Perkongsian hidup di antara DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah bermula pada tanggal 9 Mei 1994. Buat masa ini, pasangan Diraja bahagia ini telah dikurniakan dua orang puteri. Puteri sulung, Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah diputerikan pada 10 Februari, 1995 di Hospital Pantai Kuala Lumpur. Manakala Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana pula diputerikan pada 4 Mac 2001 di Hospital Zollikerberg, Switzerland.

Baginda berdua turut menunaikan rukun Islam yang ke lima, yakni ibadah haji dalam tahun 2004 dan 2006 yang lalu.

345678910

CetakEmel