Tuanku Lailatul Shahreen

 

D.Y.T.M Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil
Raja Puan Muda Perlis

Diputerikan di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 28 Mac 1970 dan merupakan puteri kedua daripada empat beradik perempuan kepada usahawan Dato' Haji Khalil Akasah dan Datin Hajjah Nik Rahimah binti Wan Ahmad.

1

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan DYTM Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen,
semasa acara memotong kek perkahwinan baginda di Dewan Warisan, Kangar pada Mei 1994.

DYTM Raja Puan Muda merupakan bekas pelajar Sekolah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur dari tahun 1977 hingga 1984. Baginda seterusnya meneruskan pelajaran di Melbourne, Australia, selama lapan tahun. Ketika di Australia, Baginda mulanya menuntut di Merton Hall - Melbourne Girls Grammar School, dan kemudiannya di La Trobe University di mana Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang kemanusiaan pada tahun 1992. Semasa menuntut di Australialah bermulanya perkenalan di antara Tuanku Raja Puan Muda dengan Tuanku Syed Faizuddin. Sifat peramah dan pandai berkawan telah menjadikan Baginda amat disenangi oleh ramai rakan dan taulan.

Tuanku Raja Puan Muda mempunyai pelbagai minat dan bakat. Selain membaca, melukis dan berseni, Baginda juga meminati sukan luncur ais, ski, jet ski dan berenang. Puteri sulung Baginda, YAM Sharifah Khatreena Nuraniah telah mula menunjukkan bakat mewarisi minat-minat dan kebolehan Baginda. Baginda juga pernah mengikuti kursus asas dalam beberapa bahasa termasuk Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Jerman. Sehingga tahun 1995, Tuanku Raja Puan Muda memegang jawatan sebagai Pengurus Pentadbiran ASIE Sdn. Bhd. tetapi mengambil keputusan meletakkan jawatan apabila mula mengiringi Tuanku Syed Faizuddin menjalankan tugas Baginda di luar negara.

2

Pada 1 Ogos 2002, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah dikurniakan gelaran rasmi "Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis" apabila Tuanku Syed Faizuddin diisytiharkan sebagai Raja Muda Perlis. Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen dikurniakan anugerah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran 'Dato' Seri' pada 17 Mei 2002.

Bagaimana aktifnya Tuanku Raja Muda Raja Perlis, begitu jugalah dengan Tuanku Raja Puan Muda. Baginda merupakan penaung bagi Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia Cawangan Perlis serta Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Wanita (DEWANITA) Cawangan Perlis disamping menjadi Pengerusi Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM). Baginda juga telah dilantik sebagai pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang dilancarkan baru-baru ini dengan bertemakan "Women in Search of Excellence" di peringkat kebangsaan.

Tuanku Raja Puan Muda dan Tuanku Raja Muda turut berkongsi kegemaran melancong. Pada kesempatan bercuti Baginda berdua akan membawa kedua-dua puteri kesayangan baginda melawat negara-negara luar untuk menambah pengalaman dan meluaskan pandangan. Di antara negara-negara yang pernah dikunjungi ialah ke sebahagian besar benua Eropah dan Australia, Amerika Syarikat, China, India, Emiryah Arab Bersatu, Mesir dan Afrika Selatan.

Pengalaman yang banyak Tuanku Raja Puan Muda timba ketika hidup di luar negara tidak disia-siakan begitu sahaja. Baginda selalu mencurahkan ilham dan berbincang dengan Tuanku Raja Muda serta mencadangkan cara-cara menceriakan lagi Negeri Perlis yang Permai Lagi Mempesona ini. Semoga dengan ilham dan sumbangan Baginda seluruh negeri dan rakyat Perlis akan bertambah maju, aman dan makmur.

Daulat Tuanku! Dirgahayu Tuanku!

34

CetakEmel