Kewujudan Perlis

 

Pendudukan Siam Ke Atas Kedah

Setelah kemangkatan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah, Kedah mula dibayangi sengketa yang dicetuskan oleh pihak Siam. Pihak Siam telah menyerang dan menduduki Negeri Kedah dan jajahan-jajahannya pada tahun 1821. Walau bagaimanapun, kerajaan Siam menghadapi kesukaran memerintah memandangkan sikap rakyat di negeri ini yang masih kukuh berpegang teguh kepada institusi kesultanan Negeri Kedah.

Tindakan kekejaman oleh Siam ke atas penduduk di sini seperti menyiksa, membakar rumah dan bahan makanan serta merampas harta benda akhirnya mencetuskan satu tindakan serangan balas secara besar-besaran yang didokongi oleh angkatan sukarelawan yang hadir dari seluruh pelusuk negeri-negeri Islam di nusantara. Serangan ini diketuai oleh Tengku Muhammad Akib, Datuk Wan Mohamad Ali dan seorang ulama terkenal dari tanah Palembang, Assyahid Syeikh Abdul Samad Palembang pada tahun 1838. Angkatan tentera ini telah mara hingga ke Pattani, Hat Yai dan Singgora, tetapi akhirnya diundurkan oleh Siam dengan bantuan Inggeris yang bersikap talam dua muka ketika itu.

 

Sikap Kompromi Siam - Kewujudan Negeri Perlis

Walau bagaimanapun, perkembangan ini memaksa Siam memikirkan tindakan berkompromi dalam hal pentadbiran Negeri Kedah dan jajahan-jajahannya. Raja Besar Siam, Raja Nag Klau (Rama III), akhirnya memanggil pulang gabenor Siam di Alor Ganu, Kedah yang dilantik menguasi Negeri Kedah dan menggantikan kuasa mentadbir Negeri Kedah serta jajahannya kepada pembesar-pembesar tempatan pada penghujung tahun 1839. Perlantikan ini dilaksanakan setelah Negeri Kedah dan jajahannya dibahagikan kepada empat buah negeri berasingan iaitu Perlis, Setul, Kubang Pasu dan Kedah. Keempat-empat negeri ini diletakkan di bawah pentadbiran gabenor masing-masing.

Bagi Negeri Perlis, Raja Long Krok (Paduka Seri Maharaja Lela) dilantik sebagai gabenor, manakala Syed Hussin Jamalullail sebagai timbalan beliau. Detik ini merupakan detik bersejarah bagi Negeri Perlis yang telah mendapat pengiktirafan dari status jajahan kepada status sebuah negeri.

Pada saat ini, Perlis mendapat identiti sebagai sebuah unit politik yang tersendiri, mempunyai gabenor dan diberi mandat mentadbir negeri sendiri oleh pihak Siam.

serahperlis
Upacara Istiadat Penyerahan Kuasa Negeri Perlis oleh kerajaan Siam kepada kerajaan Negeri Kedah yang diadakan di Balai Rong, Istana Kedah.

CetakEmel