Pengenalan

 

Catatan mengenai Negeri Perlis dalam persada sejarah menampilkan hakikat kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat yang berkesinambungan sejak zaman-berzaman.

Kewujudannya melewati zaman prasejarah yang dibuktikan dari peninggalan bahan zaman purba di Gua Tegun Lembu (Tengku Lembu) Beseri, membayangkan kematangan warisan Negeri Perlis dalam mengharungi survival yang panjang.

Setelah melewati zaman pra-sejarah, laluan seterusnya dibayangi oleh pengaruh-pengaruh ideologi dan agama yang mewarnai budaya hidup masyarakat di daerah ini.

Aliran perkembangan tersebut bermula dari pengaruh agama Hindu, disusuli pengaruh ajaran Buddha dan akhirnya pada abad ke-12, pengaruh agama Islam mengambil tempat mendasari cara hidup masyarakat di Perlis.

Namun pengaruh penguasaan kesultanan Negeri Kedah sejak abad ke-12 yang meliputi jajahan-jajahan pemerintahan yang besar, termasuk Negeri Perlis ketika itu, tidak banyak membantu mencernakan imej sebenar Negeri Perlis dalam catatan sejarah.

Oleh kerana itu, teori asal-usul nama "Perlis" sendiri mempunyai banyak perbezaan pendapat di kalangan sarjana sejarah memandangkan sumber maklumat yang sukar diperolehi.

Walau bagaimanapun, hipotesis yang dibuat oleh anak watan Negeri Perlis, Encik Ahmad Ismail dan Y.B. Yazid Mat, dalam buku "Perlis Indera Kayangan - Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat", menampakkan asas logik bahawa nama "Negeri Perlis" berasal dari nama sejenis pokok, "Pokok Perlis".

Ketika itu, kuasa pemerintahan kesultanan Negeri Kedah meliputi sempadan Wilayah Setul dan Kuala Bara di utara, hingga ke Lembah Kerian di Lembah di selatan.

Wilayah Perlis pula terletak bersempadan Wilayah Setul di sebelah Tenggara, bersempadan daerah Kubang Pasu di sebelah barat laut dan utara, mengadap laut Selat Melaka di bahagian barat, dan bersempadan dengan Wilayah Songkhla di sebelah timur laut. Berdasarkan fakta sejarah, saiz Negeri Perlis ketika itu lebih besar dari yang ada sekarang.

CetakEmel