Pusat Pentadbiran

 

Walau apapun hakikat namanya, lokasi "Perlis" memberi keistimewaan yang tersendiri untuk beberapa generasi kesultanan Negeri Kedah mendirikan pusat pentadbiran dalam jajahan Perlis. Sejak ajaran Islam bertapak di Negeri Kedah pada abad ke-12 hingga terpisahnya Negeri Perlis daripada Negeri Kedah, terdapat dua pusat pentadbiran yang didirikan oleh institusi kesultanan Negeri Kedah dalam jajahan Perlis.

Ia bermula apabila Kota Si Puteh di daerah Kubang Pasu, tiga batu dari wilayah Perlis ketika itu, mengalami bencana serangan Acheh yang hampir menghancurkan institusi kesultanan Negeri Kedah. Iktibar dari kejadian inilah institusi kesultanan Negeri Kedah meninjau tapak baru bagi mendirikan sebuah pusat pentadbiran bercirikan nilai strategik dari aspek pertanahan dengan mengambil kira kepentingan ekonomi dan perkembangan sosial.

Setelah itu buat sementara waktu, Kota Naga di daerah Kubang Pasu dijadikan pusat pentadbiran sehingga tahun 1653. Akhirnya Kota Sena dipilih untuk dijadikan pusat pentadbiran kesultanan Negeri Kedah sehingga tahun 1661. Kota ini terletak dalam Mukim Sena, berdekatan Bandar Kangar sekarang. Ia diasaskan oleh Sultan Muhyiddin Mansor Shah (1653-1661), Sultan ke-14 bagi Negeri Kedah.

Pada 1661 hingga 1687, pusat pentadbiran kesultanan Negeri Kedah dipindahkan ke Kota Indera Kayangan Pertama yang terletak di tepi sungai Perlis, di antara Bandar Kangar dan Kuala Perlis.

Kota Indera Kayangan Pertama adalah pusat pentadbiran yang terbukti mampu mempertahankan institusi kesultanan Negeri Kedah dari serangan musuh disamping lokasi strategik dari aspek ekonomi dan sosial. Asas kenyataan ini dapat dibuktikan melalui fakta sejarah iaitu semasa pemerintahan di Kota Indera Kayangan Pertama, mata wang berbentuk lapan segi yang diperbuat daripada campuran tembaga dan perak, setiap sekeping seberat 0.77 gram telah dapat dihasilkan.

Di samping itu, projek mengorek sungai dari Kota Indera Kayangan ke selatan jajahan Perlis, menembusi beberapa mukim dalam jajahan Negeri Kedah sehingga bertemu dengan sungai Kedah di Anak Bukit telah dapat dilaksanakan. Projek ini memberi faedah dari aspek ekonomi berasaskan pertanian kepada rakyat jelata. Ia merupakan projek sungai korek (man-made canal) yang pertama seumpamanya di Semenanjung Tanah Melayu. Pemerintahan yang berpusat di jajahan Perlis ketika itu berakhir dengan kemangkatan Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah pada tahun 1687. Era pemerintahan ini dikenali sebagai era Kota Indera Kayangan 1. Setelah itu pusat pemerintahan kesultanan Negeri Kedah berpindah ke Kota Bukit Pinang sehingga tahun 1735. Akhirnya Kota Setar yang kini dikenali sebagai Alor Setar dipilih untuk dijadikan pusat pemerintahan Kesultanan Negeri Kedah sehingga kini.

CetakEmel