Syed Ahmad

Zaman Raja Syed Ahmad Jamalullail

Raja Syed Hussin menghembuskan nafas terakhir pada tarikh Hari Raya Aidilfitri, 1290 Hijrah bersamaan 1873 Masihi. Baginda meninggalkan pemerintahan negeri yang stabil untuk diwarisi oleh putera sulung baginda, Raja Syed Ahmad. Raja Syed Hussin telah berada di atas singgahsana pemerintahan Negeri Perlis selama 30 tahun.

Tiga bulan setelah Raja Syed Ahmad menaiki takhta, baginda bersama rombongan telah berangkat ke Bangkok melalui Ligor. Keberangkatan ke sana bertujuan mempersembahkan taat setia baginda sebagai Raja Negeri Perlis yang baru di samping membawa persembahan bunga emas dan perak serta perkakasnya ke hadapan Raja Chulalongkorn. Dalam majlis menghadap, Raja Chulalongkorn merestui Raja Syed Ahmad Jamalullail sebagai raja yang baru bagi Negeri Perlis.

Bagi Raja Syed Ahmad, baginda dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Namun putera baginda, Syed Alwi Jamalullail telah mangkat dalam kejadian kapal karam di laut berhampiran Kuala Kedah, sepuluh tahun sebelum baginda menduduki takhta. Walaupun begitu, penawar kepada kehilangan anakanda baginda ialah kelahiran cucu baginda, Syed Saffi Jamalullail, anakanda kepada Al-marhum Syed Alwi yang berumur setahun ketika kemalangan kapal karam tersebut.

Syed Saffi menjadi harapan kepada baginda Raja Syed Ahmad sebagai pewaris takhta Negeri Perlis. Atas tuntutan mempersiapkan diri sebagai pewaris baginda, Syed Saffi telah dihantar mendalami ilmu pengetahuan di Bangkok. Syed Saffi akhirnya diterima oleh Raja Chulalongkorn dan tinggal di istana Bangkok. Ketika berada di sana, Raja Chulalongkorn melantik Syed Saffi sebagai Bakal Raja bagi Negeri Perlis dan atas permintaan Raja Syed Ahmad. Syed Saffi dikurniakan gelaran "Phra' Sunthorn".

Setelah sepuluh tahun menimba ilmu pengetahuan di sana, Syed Saffi memohon kembali ke Perlis. Permohonan tersebut dipersetujui oleh Raja Chulalongkorn atas satu syarat, Syed Saffi mesti dikahwinkan terlebih dahulu dengan seorang puteri pembesar Siam. Syarat ini dipersetujui dan berlangsunglah perkahwinan Syed Saffi dengan Michu atau Wan Saadiah (setelah diIslamkan) di istana Kelahom. Kepulangan Syed Saffi ke Perlis banyak meringankan bebanan dan tanggungjawab Raja Syed Ahmad dalam pemerintahan negeri. Kewibawaan Syed Saffi dalam menjayakan pemerintahan Negeri Perlis, akhirnya membawa kepada perlantikan baginda sebagai pemangku Raja.

CetakEmel