Syed Alwi

Pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail

 alwi

Takhta pemerintahan Al-marhum Raja Syed Saffi diwarisi oleh anakanda baginda, Raja Syed Alwi. Upacara pertabalan dilangsungkan di hadapan Raja Chulalongkorn dengan penuh adat istiadat Kerajaan Siam. Baginda Raja Syed Alwi kemudiannya diberi gelaran "Phya Songkhram Ramu Wichit Asamara Phya Pelit".

Ketika zaman pemerintahan Raja Syed Alwi, Negeri Perlis menghadapi masalah kewangan yang kritikal. Baginda akhirnya terpaksa membuat pinjaman wang daripada pihak Kerajaan Siam.

Justeru itu, pada 4 Oktober 1905, Negeri Perlis di bawah pemerintahan Raja Syed Alwi telah menandatangani satu perjanjian pinjaman wang dengan pihak kerajaan Siam berjumlah dua ratus tiga puluh ribu ringgit.

Atas syarat-syarat yang telah ditetapkan, pihak Negeri Perlis terpaksa menerima perkhidmatan seorang Pegawai Penasihat Siam untuk membantu dalam urusan pentadbiran kewangan negeri.

Secara tidak langsung, keadaan ini membantu ke arah menjayakan aspirasi Siam untuk mengawal dan menyekat kebebasan tertentu di Negeri Perlis.

Penubuhan "State Council" juga adalah atas nasihat pihak Siam. Siam menghantar Mr. A.H. Duke ke Negeri Perlis untuk mengawasi hal-hal pentadbiran negeri. Biarpun Negeri Perlis telah mendapat khidmat pegawai penasihat kerajaan Siam, namun masalah kewangan masih tidak dapat diatasi. Justeru dalam tahun 1907 Negeri Perlis sekali lagi meminjam wang daripada kerajaan Siam sebanyak seratus lima puluh ribu ringgit.

Hakikat di sebalik usaha Siam mengawal Negeri Perlis adalah berkait rapat dengan usaha membendung pengaruh British di negeri-negeri Melayu di utara Semenanjung pada tahun-tahun kebelakangan tersebut. Sebaliknya, British melihat campurtangan Siam yang semakin kukuh di Negeri Perlis sebagai satu helah mempertahankan negeri-negeri naungannya dari dirampas oleh British. Justeru itu, pihak Inggeris menempatkan seorang pegawai penasihat, Mr. Meadow Frost di Alor Setar.

Kebimbangan ini membawa kepada perundingan antara pihak Inggeris dan Siam. Akhirnya termeterai Perjanjian Bangkok pada 10 Mac tahun 1909. Perjanjian ini telah membawa rahmat kepada Negeri Perlis di mana semenjak itu Negeri Perlis mula bernaung di bawah Kerajaan Inggeris. Pada tahun itu juga, bunga emas dan perak yang terakhir dari Negeri Perlis telah disiapkan dan dihantar ke London.

Sehubungan dengan itu, hutang-hutang Negeri Perlis dan faedahnya telah dibayar oleh kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan).

Usaha ini memperlihatkan kesatuan negeri-negeri di Tanah Melayu dan inisiatif bijak yang diambil untuk mengelakkan Negeri Perlis dari jatuh ke tangan pihak Siam. Justeru itu semenjak tahun tersebut hutang Negeri Perlis dibayar secara beransur-ansur oleh keempat-empat negeri berkenaan. Selepas Negeri Perlis berjaya melangsaikan hutang tersebut pada tahun 1930, barulah kerajaan Inggeris dapat menaungi Negeri Perlis secara rasmi melalui perjanjian antara Negeri Perlis dan kerajaan Inggeris tahun 1930.

Sistem pemerintahan Negeri Perlis ketika itu samalah seperti sistem pemerintahan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pendekatan pihak Inggeris dalam membantu menjayakan aspek pentadbiran negeri di sini telah berjaya memantapkan perkembangan ekonomi dan sosial di Negeri Perlis sehingga menjelang Perang Dua kedua.

CetakEmel