Syed Harun Putra

Zaman Pemerintahan Takhta Raja Syed Harun Putra Jamalullail

Oleh kerana Raja Syed Alwi tidak mempunyai zuriat untuk menaiki takhta sebagai Raja Perlis, pihak State Council Perlis yang sememangnya akur tentang perkara ini telah mengadakan satu mesyuarat khas pada 4 Disember 1934. Mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk mengangkat Tuan Syed Hassan Ibni Syed Mahmud Jamalullail sebagai Bakal Raja Perlis.

Tuan Syed Hassan adalah putera tunggal Tuan Syed Mahmud Ibni Syed Saffi Jamalullail, Raja Muda Perlis (yang diperkenankan oleh Raja Chulalongkorn semasa pertabalan Raja Syed Alwi di Bangkok dalam tahun 1905).

Tuan Syed Hassan pernah berkhidmat sebagai juruiring (ADC) kepada Raja Syed Alwi dan pernah menjadi Hakim yang ketiga di bawah Tuan Haji Ahmad bin Haji Mohammad (Tuan Haji Ahmad Hakim).

Setelah di masyhurkan sebagai Bakal Raja belum genap setahun, dalam tahun 1935 Tuan Syed Hassan telah mangkat di rumah Sakit Besar, Alor Setar.

Perlantikan Bakal Raja menggantikan Tuan Syed Hassan sengaja dibekukan oleh pihak State Council sehinggalah ke bulan April, 1938, apabila State Council dengan persetujuan King George ke 6 telah memutuskan mengangkat Tuan Syed Harun Putra yang lebih dikenali dengan sebutan "Syed Putra" putera tunggal Tuan Syed Hassan Jamalullail menjadi Bakal Raja yang baru. Pada masa itu Tuan Syed Putra masih lagi menuntut di Hutching School, Pulau Pinang. Istiadat mengangkat Bakal Raja yang baru kemudiannya dilangsungkan di Balai Penghadapan Istana Arau, di mana Tuan Syed Putra telah diperkenalkan kepada Sir Shenton Thomas, Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Negeri-Negeri Melayu ketika itu serta para pembesar negeri.

Dalam tahun 1939 Tuan Syed Putra yang sedang menuntut di Pulau Pinang di jemput pulang ke Perlis kerana Raja Syed Alwi dan "State Council" telah memutuskan bahawa baginda sudah sampai masa dan layak untuk diberi latihan yang wajar sebagai Bakal Raja.

Tuan Syed Putra di tempatkan di Mahkamah Rendah Kangar dalam tahun 1940, untuk menjalani latihan kira-kira 4 bulan. Selepas itu baginda dihantar ke Kuala Lumpur untuk mengikuti latihan di Pejabat Tanah dan Mahkamah Pengadil sehinggalah menjelang Perang Dunia ke 2. Semasa menjalani latihan di Kuala Lumpur baginda telah berkahwin dengan Tengku Budriah binti Tengku Ismail, iaitu cucunda kepada Tengku Abdul Kadir, Raja Negeri Patani yang terakhir, dan juga kerabat DiRaja Negeri Kelantan.

CetakEmel