Syed Saffi

Pemerintahan Raja Syed Saffi Jamalullail

 saffi

Raja Syed Ahmad yang telah lama gering, mangkat di Istana Arau pada 15 Ramadhan S.H. 1314, bersamaan 19 Februari 1987. Sehubungan itu, Syed Saffi menerima jemputan daripada Raja Chulalongkorn untuk ditabalkan sebagai Raja. Pada tanggal 10 Zulhijjah 1314, Raja Syed Saffi menghadap Raja Chulalongkorn. Baginda diberikan gelaran "Phya Songkhram Wicit Wilis Asmara Phya Pelit" dan dianugerahkan surat "Tera" dan "Senjabat".

Tidak berapa lama selepas itu Dato' Wan Muhammad Saman, Dato' Perdana Menteri Kedah bersama rombongan pembesar-pembesar Kedah telah hadir menghadap Raja Syed Saffi untuk mengemukakan hasrat mengambil balik Negeri Perlis ke pangkuan Negeri Kedah.

Kemudian rombongan tersebut menghadap Raja Chulalongkorn di Bangkok atas tujuan yang sama. Namun, pihak rombongan dari Kedah telah tersilap langkah kerana Raja Negeri Perlis ketika itu sudah diiktiraf dan ditabalkan sendiri oleh Raja Chulalongkorn.

Desakan berterusan oleh pihak pembesar Negeri Kedah untuk memasukkan kembali Negeri Perlis di bawah jajahan Kedah, membawa kepada kunjungan Syed Saffi menghadap Raja Chulalongkorn. Demi menjamin kesinambungan pemerintahan Raja Syed Saffi sebagai pewaris takhta keturunan Jamalullail dan maruah Negeri Perlis maka Raja Chulalongkorn menganugerahkan cop mohor baru kepada Raja Syed Saffi pada tahun 1899. Tindakan ini berjaya menamatkan usaha Dato' Wan Muhammad Saman sekaligus mengekalkan identiti Negeri Perlis. Era pemerintahan baginda telah menyaksikan beberapa asas kepada kemajuan dalam pembangunan ekonomi dan sosial di Negeri Perlis. Baginda sempat merintis haluan kepada pembinaan jalan-jalan raya dan tali air. Pada tahun 1898, Raja Syed Saffi mengasaskan pembinaan sebuah "Pekan Baru" (market) untuk menggalakkan para peniaga Melayu berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Dalam bidang pendidikan pula, baginda turut mengambil perhatian terhadap pendidikan di kalangan putera-putera raja dengan menghantar mereka belajar di sekolah-sekolah Inggeris di Pulau Pinang. Baginda juga sempat mengasaskan pembinaan dua buah sekolah Melayu iaitu Sekolah Melayu Kangar (sekarang dinamakan Sekolah Dato' Wan Ahmad) dan sebuah sekolah di Kuala Perlis. Di bawah teraju Raja Syed Saffi, kutipan hasil Negeri Perlis meningkat kepada jumlah dua puluh tujuh ribu ringgit dan kebijaksanaan baginda menguruskan pentadbiran negeri membawa kepada kemajuan Perlis hingga ke akhir hayat baginda. Pemerintahan Raja Syed Saffi selama lapan tahun memberi erti yang besar kepada seluruh rakyat Negeri Perlis. Kemangkatan baginda pada malam Jumaat, 22 Syawal 1322 Hijrah, bersamaan Disember 1904 merupakan kehilangan seorang peribadi yang gigih mempertahankan identiti dan maruah Negeri Perlis. Jenazah Al-marhum Raja Syed Saffi disemadikan di makam DiRaja di Arau.

CetakEmel