Tempat Bersemayam

 

Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan para pembesar telah membangunkan semula Kota Indera Kayangan dan baginda bersemayam di suatu kawasan berhampiran Kampung Langgar, Kayang. Era pemerintahan ini disebut sebagai era Kota Indera Kayangan II dan Sultan Dhiauddin dikenali sebagai Almarhum Kayang Kedua. Ketika pemerintahan inilah, beberapa peristiwa penting telah berlaku di Negeri Perlis. Dalam bulan Jun 1800, Sultan Dhiauddin telah membuat perjanjian persahabatan dengan George Leith, Gabenor Inggeris di Pulau Pinang dan ekorannya Seberang Perai diserahkan kepada East India Company.

Dalam perjanjian tersebut Sultan Dhiauddin disebut sebagai "Raja Muda Perlis dan Kedah" dan seterusnya nama Perlis disebut terdahulu daripada Kedah, iaitu "Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Perlis dan Kedah", di Perlis dan Kedah", ke Perlis dan Kedah" dan "Negeri Perlis dan Kedah". Apa yang jelas, ketika pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah, Perlis umpama sebuah negeri tersendiri dan mempunyai keistimewaan dalam pemerintahan kesultanan Negeri Kedah ketika itu. Seolah-olah wujud pemerintahan "a state within a state", walaupun dalam perjanjian itu disebut bahawa "Negeri Perlis dan Kedah dan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri".

Namun begitu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II dipaksa turun takhta oleh Sultan Ahmad Tajuddin II. Sultan Dhiauddin Mukarram Shah hanya dibenarkan memerintah jajahan Perlis hingga akhir hayat baginda pada tahun 1813.

CetakEmel